Mahu Cari Kelainan
October 24th, 2008 by admin | Comments Off | Filed in Ajay Devgan, KajolOleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Media gelar Kajol Malaysia, kalau boleh Farawahida mahu dikenali dengan nama sendiri
SENGAJA bereksperimentasi dan bukan niat mengembalikan cerita lama, kononnya gadis jelita berkulit hitam manis bernama Farawahida Razali, 23, ini ada mirip bintang Bollywood, Kajol.
Lalu untuk tatapan pembaca setia Hip, kami paparkan penyanyi dalam busana mirip bintang Bollywood itu. Kebetulan sesuai pula dengan sambutan Pesta Cahaya Isnin ini, Fara tidak keberatan untuk menyarungkan sari berona menjerit yang menyerlahkan lagi penampilannya. Untuk penampilan kedua, gadis bergigi cantik yang bakal muncul dengan album ketiga ini bergaya kasual dengan rambut palsu sebagai pelengkap.
Almaklumlah, Farawahida yang lebih selesa membahasakan dirinya sebagai Fara sudah mula membuat himpunan rambut palsu.
“Tak Fara nafikan masih ada yang memanggil saya Kajol sewaktu membuat persembahan. Jujurnya, Fara sendiri tidak mampu menjawab sama ada masih selesa atau tidak dengan gelaran itu kerana ia mula diberi pihak wartawan sendiri.
“Apa yang mampu dikatakan Fara bersyukur dengan apa juga perkara positif yang diberi, tetapi biarlah peminat mengenali diri ini sebagai Farawahida.
”Demi menampilkan kelainan, sekarang ini memang Fara sudah mula mengumpul rambut palsu yang kebanyakannya dibeli di Indonesia. Fara sudah memiliki lebih 30 rambut palsu. Ada yang keriting, afro, sanggul dan berwarna putih,” katanya yang begitu teruja dengan hobi baru mengumpul rambut palsu.
Mengintai perjalanan kerjaya pemenang Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang
Popular Berita Harian (ABPBH 2006) ada kalanya timbul dan sesekali nampak macam sudah tenggelam dan sepi.
Hakikatnya, mungkin Fara jarang diberi publisiti buat tatapan media cetak dan elektronik sedangkan dia masih meriah mendapat undangan membuat pertunjukan.
Selepas muncul dengan album Tanpamu pada 2006 dan Semuanya Ada Di Sini (2007), Fara kini sedang rancak membikin album seterusnya yang dijangka dipasarkan di Malaysia dan Indonesia. Album ketiga ini memadankan konsep etnik kontemporari tetapi ada yang disampaikan dengan muzik pop dan balada. Selain lagu tempatan, ada dua lagu dari negara seberang yang bakal dimuatkan.
Biar sesuram mana pasaran album di negara kita, Fara masih mampu tersenyum dan ‘terbang jauh’ kerana masih diberi peluang dan kepercayaan membikin album. Kontrak lima tahun bersama Millenium Arts Sdn Bhd hanya berbaki setahun lebih dan pastinya digunakan sebaik mungkin bagi Fara untuk memantapkan legasi seninya.
“Ikutkan artis yang menerjah persada seni bersama-sama Fara belum pasti akan ada album macam Fara. Itu Fara tidak boleh sangkal dan secara jujurnya biarpun pasaran album tempatan dilihat tidak menentu naik turunnya, Fara bersyukur kerana Julfekar masih mampu mencari ruang untuk menghasilkan album Fara, walaupun syarikatnya tidak boleh dibandingkan dengan syarikat gergasi yang memonopoli penghasilan album di negara kita,” ungkap Farawahida yang turut terbabit dengan album Bakti berjudul Untukmu Sayang yang membabitkan isteri menteri di Malaysia dan beberapa selebriti tempatan lain seperti Anita Sarawak, Jaclyn Victor, Salamiah Hassan, Sheila Majid dan Amy Mastura.
Tak lupa jasa Julfekar
NAMA Farawahida cukup sinonim dengan nama komposer yang juga majikan tempat kerjanya, Julfekar sehingga pernah timbul gosip yang mengatakan mereka mempunyai hubungan intim. Lebih dahsyat lagi mereka dituduh sudah berkahwin.
Cerita itu bagaimanapun ditepis dan akhirnya ia berlalu sepi begitu saja. Ditanya sampai bila dia akan terus bekerjasama dengan Julfekar, Fara masih belum mampu memberi jawapan konkrit.
Gadis kelahiran Taiping, Perak ini juga tidak banyak dikaitkan dengan gosip percintaan dan kontroversi dan dia juga lebih pantas meneruskan kerjaya tanpa gosip dan usikan merapu yang dilihat tidak penting sama sekali.
“Tanpa ragu, Fara tidak boleh melupakan jasa dia (Julfekar) yang banyak membantu memacu kerjaya Fara selama ini. Fara juga tidak boleh menutup mulut orang yang beranggapan negatif terhadap kami kerana Fara masih mengikat kontrak dan dia masih bos Fara. Fara percaya dan senang dapat berkolaborasi dengannya. Untuk menjawab sampai bila Fara akan terus bekerjasama dengannya, Fara sendiri tidak pasti. Tunggu dan lihat sajalah.
“Fara lebih senang jika perjalanan kerjaya Fara tidak dilengkapi dengan kisah gosip cinta yang tidak pasti hujung pangkalnya. Sekalipun Fara ada kekasih, Fara lebih senang mendiamkan diri tanpa perlu heboh-heboh. Lihat saja contoh macam Yanie Mentor, alih-alih dia sudah berkahwin. Tapi kita hanya mampu merancang dan berkata itu ini, kerana apa yang bakal berlaku ke depan nanti, mungkin juga akan merubah segala-gala.
“Bagi Fara, sampai bila seseorang artis itu mampu bertahan andai hanya bersandarkan pada gosip dan kontroversi. Ada yang cakap sesetengah artis boleh melonjak populariti dengan perkara sebegitu tapi bagi Fara sendiri, biarlah orang kenal Fara dengan bakat nyanyian,” katanya.
Info Farawahida:
Dilahirkan pada 19 Mac 1985 di Taiping, Perak. Berdarah campuran Melayu-Pakistan dan anak keempat daripada enam beradik.
Mula menyanyi di khalayak pada usia lima tahun.
Pernah bergelar finalis Wirawan Seni Remaja EON 1995; Finalis Pepsi Young Discovery Challenge 1996; Finalis Sinaran TV3 2000; Finalis Bintang RTM 2001; Finalis Bintang URTV 2002 dan Finalis.
Suara Jati Malaysia 2003. Siapa sangka, meskipun dianggap muka baru dalam industri muzik tempatan, album sulungnya, Tanpamu, menembusi pasaran Indonesia tahun lalu. Kira-kira 3,000 unit album dijual dalam tempoh seminggu.
Untuk album kedua Farawahida mengundang beberapa artis seperti Endang S Taurina untuk lagu Di Sini Ada Cinta, The Fabulous Catz untuk lagu Rakus… (Mengapa Begini) ciptaan Julfekar dan Slen.
Bagi album ketiga ini, lagu Hilangkan Segalanya dijadikan single pertama.
Selain terbabit dengan album Bakti, Farawahida juga menyanyikan lagu Kita Anak Malaysia bagi Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Lagu itu akan dinyanyikan olehnya juga menjelang Hari Merdeka pada tahun ini.
Sepintas Farawahida
Julfekar: Majikan dan bosnya. Seorang yang mempunyai komitmen tinggi, bertanggungjawab, tegas, berdisiplin dan sentiasa memastikan yang terbaik untuk syarikatnya, Millenium Arts Sdn Bhd.
Kajol: Pelakon terbaik dan popular di Bollywood dan isteri kepada pelakon Ajay Devgan serta pandai menari dengan langkah tersusun. Fara mula mengenali Kajol sejak filem Kuch-Kuch Hota Hai dan suka melihat kening dan rambut ikal mayangnya.
Kasut: Suka mengumpul kasut dan sudah lebih 300 pasang dimilikinya, berharga sekitar puluhan ringgit hinggalah ke ratusan dengan pelbagai jenama. Antaranya seperti Vincci, Nose, Edward Forrer, Guess dan sebagainya. Fara paling takut memakai kasut tinggi (high heel), Fara lebih suka memakai kasut tapak rata (wedges).
Minyak wangi: Ini juga satu kesukaannya. Fara memang gemarkan daripada bau yang lembut berperisa buah-buahan seperti buah limau, bunga-bungaan dan koleksi jenama Anna Sui, Elizabeth Arden, Salvatore Ferragamo, Gucci, MNG, Burbbery dan macam-macam lagilah.
Profil
Farawahida Razali
Nama Panggilan: Fara
Tarikh Lahir: 19 Mac 1985
Asal: Taiping, Perak
Berita Harian