Bipasha Elak Seksi
November 11th, 2008 by admin | Comments Off | Filed in Bipasha Basu, John Abraham

Bipasha Basu
Aktres Bollywood mahu pengkritik nilai bakat lakonan
NEW DELHI: Ketika ramai rakan artis Bollywood berlumba-lumba bergaya seksi bagi melariskan diri, aktres popular Bipasha Basu sebaliknya berhasrat mengubah imej seksinya.
Ini disebabkan jelitawan yang pernah menjadi model sebelum bergelar pelakon, sudah muak dengan persepsi ramai yang lebih melihat bentuk tubuhnya berbanding bakal lakonannya.
Berikutan itu, teman wanita aktor John Abraham ini mengakui sudah serik menerima watak yang mahukannya bergaya seksi dan kini memberi tumpuan serius untuk mengubah imejnya.
Pendiriannya itu berbeza dengan kenyataannya sebelum ini apabila diundi sebagai wanita paling seksi di Asia tahun lalu oleh akhbar Britain, Eastern Eye. Ketika itu, Bipasha mengakui yang beliau sememangnya menikmati imej seksinya itu biarpun kini nada suaranya berbeza yang disifatkan mencerminkan kematangan dirinya.
“Saya sudah muak dengan gelaran pelakon seksi. Ungkapan seperti bentuk badan Bipasha yang seksi, jauh lebih banyak berbanding pujian terhadap bakat lakonan saya. Bukan saja di mata penonton, pengarah pula memberikan saya watak yang biarpun pelbagai, tetapi tetap bertumpu kepada seksi. Ini seperti polis seksi, suri rumah seksi, wanita penggoda, cikgu seksi.
“Semua ini di luar kawalan saya kerana sudah diberi watak sedemikian. Sebagai pelakon, saya bertanggungjawab mempamerkan lakonan yang hidup. Tetapi, kesudahannya, bukan lakonan sebaliknya aspek fizikal yang menjadi ukuran.
“Bukannya saya tidak sukakan pujian itu tetapi apa yang menyedihkan, soal bentuk badan itu yang menenggelamkan kemampuan sebenar saya,” katanya dipetik media tempatan, semalam.
Bagaimanapun, Bipasha mengakui dirinya yang sudah sebati dengan imej itu dan sukar untuk menukarnya dalam sekelip mata.
“Saya cuma mahukan orang menilai bakat sebenar saya dan bukan imej seksi.”
Dalam filem terbarunya, Pankh, Bipasha membawa watak gadis gila-gila. Bagi filem Shab Charitro Kalpanik, jelitawan berkulit hitam manis ini membawa watak agak berat mengenai isteri yang berkomunikasi dengan suaminya yang sudah mati.
“Memang menarik dapat membawakan pelbagai watak yang mencabar ini. Saya gembira kerana sekurang-kurangnya orang dapat melihat Bipasha sebagai pelakon serba boleh.” - Agensi
Berita Harian